Hari ini saya mendapat mesej daripada seorang pelajar. Dia mengahantar dua fail tanpa memberi kata salam dan tidak juga menerangkan apa-apa tentang kedua-dua fail tersebut.
Saya faham apa yang dihantar kerana dia telah menghubungi saya pada hari Khamis lepas.
Timbul persoalan dalam fikiran saya. “Kenapa ya ada pelajar PhD sebegini?”
Mungkin perbezaan budaya? Pelajar tersebut adalah pelajar antara bangsa dari universiti lain.
“Hujung-hujung minggu begini Whatsapp, dah tu tak reti nak bagi salam ke?”, geram dalam hati.
“Apa nak balas ni? Perlu tak aku balas: Tak reti beri salam ke? Apa ni main hantar mesej macam ni huujng2 minggu begini” saya berkata-kata dalam hati. Sebenarnya saya OK sahaja pelajar mesej saya pada luar waktu kerja, cuma memberi mesej sebegitu tanpa apa-apa ‘intro’ membuatkan saya geram.
Akhir sekali saya membuat keputusan tidak membalas mesej tersebut memandangkan memang saya telah peruntukkan masa esok untuk bertemu secara dalam talian.
Ada situasi lain pula, saya dikeluarkan (removed) daripada kumpulan Whatsapp tanpa apa-apa makluman.
Saya fikir kita perlu faham dan ada tatacara menulis. Saya juga perlu ambil perhatian dan pastikan komunikasi adalah dengan cara beradab. Umat Islam tinggi adab sopannya kan? Adakalanya kita lupa.
Ini yang saya terfikir. Kawan-kawan boleh tambah berdasarkan pengalaman masing-masing.
Panduan Asas Berkomunikasi
1. Maklumkan sekiranya ingin mengeluarkan seseorang daripada kumpulan Whatsapp. Contohnya: “kumpulan ini hanya akan digunakan untuk urusan tertentu (XXX). Maka sekiranya anda dikeluarkan daripada kumpulan ini, mohon maaf dan terima kasih di atas sumbangan di kumpulan ini”.
2. Admin boleh memaklumkan dan memperkenalkan seseorang yang baharu dimasukkan ke dalam kumpulan tersebut. Boleh lah secara individu atau berjemaah. Contoh kalau dimasukkan beramai-ramai, boleh lah tulis “Selamat datang kepada semua yang baharu dimasukkan ke kumpulan Whatsapp ini” Kalau tidak begitu ramai, bolehlah sebut nama yang dimasukkan.
3. Dalam sesuatu kumpulan yang besar, pada pendapat saya ucapan selamat hari lahir, ucapan takziah, ucapan tahniah lebih sesuai dihantar oleh admin kumpulan tersebut. Adalah lebih baik ucapan-ucapan tersebut dihantar secara terus kepada individu tersebut. (Ini adalah pandangan peribadi saya) Kesesuain bergantung kepada jenis kumpulan. Adakah kumpulan yang formal atau kumpulan tidak formal (kumpulan huha huha)
4. Yang ini saya sendiri perlu perbaiki! Mesej pada waktu kerja sekiranya berkaitan kerja. Inilah masalahnya. Adakalanya takut lupa, maka ‘tembak’ sahaja soalan di Whatsapp.
5. Didik anak-anak murid supaya berhubung melalui Whatsapp pada waktu kerja sahaja (contohnya 8 pagi hingga 6 petang). Set the rules. Namun begitu saya tahu, ada pensyarah yang OK pelajar hantar mesej di luar waktu kerja. Ini adalah atas keselesaan masing-masing.
6. Apabila menerima berita-berita sensasi, pastikan kita selidik dahulu sebelum berkongsi dengan orang lain. Kongsikan sekiranya mesej itu benar-benar bermanfaat.
Mungkin ada lagi yang lain boleh dijadikan panduan. Sekiranya terlintas di fikiran, insya ALLAH saya akan tambah nanti.